PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGURUSAN

CHEN HUI TENG (D20191087732)

PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGURUSAN

Pengurusan boleh didefinisikan sebagai aktiviti yang teratur bagi mencari jawapan kepada beberapa soalan khusus yang dikemukakan tentang sesuatu masalah yang hakikatnya sudah dikenal pasti (Ahmad Mahdzan, 2004). Pengurusan ialah suatu proses merancang, mengelola, memimpin dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditentukan (Stoner, 1984). Pengurusan mencakupi bagaimana sumber-sumber seperti kewangan, manusia dan alat-alat digembleng dan digunakan untuk mencapai matlamat organisasi (Shukur, 1988). Pengurusan dan pembelajaran penting kerana pengurusan dapat menambahkan pengetahuan serta meningkatkan mutu amalan kerja guru. 

Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Guru

Kaedah pengajaran tradisional merupakan kaedah yang mula-mula digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada asasnya, kaedah ini adalah berkenaan dengan asas pengetahuan dan disampaikan oleh tenaga pengajar yang berkemahiran kepada sekumpulan pelajar yang ramai di dalam kuliah (Kwan, 2000). Kaedah ini adalah dalam kategori pembelajaran berpusatkan guru di mana guru hanya memberikan info dan pelajar pula hanya menerima apa yang telah disampaikan. Pernyataan ini diperkukuhkan lagi oleh Lei Yong (2005) yang menyatakan kebanyakan teknik pengajaran berpusatkan guru di mana pelajar hanya mendengar setiap pengetahuan yang disampaikan, membuat beberapa soalan biasa untuk kerja rumah sebagai rutin harian dan menghafaz semua fakta sebelum peperiksaan dijalankan. 

    Pendekatan pembelajaran berpusatkan guru merupakan kaedah pembelajaran yang dijalankan secara tradisional. Guru memainkan peranan aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru mempunyai kuasa penuh atau autoriti mengawal murid dalam bilik darjah. Isi pengajaran bergantung penuh kepada guru. Guru memberi kuliah dan pelajar hanya mendengar atau pendekatan pengajaran secara sehala sahaja. Melalui pendekatan ini, guru mempunyai kuasa dan mengawal sepenuhnya kelas dan proses pengajaran dan pembelajaran. Gambaran bagi kaedah ini seolah-olah guru memberi kuliah di hadapan kelas dan pelajar mendengar syarahan guru di meja masing-masing. Pendekatan ini tidak menggalakkan pelajar memberikan pendapat mereka sendiri walaupun mereka berkemungkinan besar mempunyai lebih pengetahuan sedia ada dalam diri mereka melalui pemerhatian atau pengalaman hidup mereka sendiri. Pendekatan ini juga boleh disebut sebagai strategi pengajaran langsung atau disebut dalam Bahasa Inggeris sebagai "Direct Instruction". Berdasarkan pendekatan ini, strategi yang digunakan, iaitu guru memainkan peranan aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala pelajar pula berperanan untuk menerima pengajaran secara pasif atau boleh disebut sebagai komunikasi satu hala, iaitu guru sahaja yang bercakap. 

    Strategi tradisional ini meletakkan guru sebagai pakar dalam mata pelajaran dan sumber utama ilmu pengetahuan. Maka, tujuan utama pelajar hadir ke kelas adalah bagi mendapatkan maklumat yang telah ditetapkan oleh guru kepada mereka. Pelajar hanya perlu mengulangi, menghafal serta mencurahkan kembali apa yang telah diajarkan kepada mereka. Berdasarkan strategi ini, beberapa ahli akademik berpendapat bahawa pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, iaitu tujuan pelajar belajar adalah untuk mencapai objektif kurikulum yang membolehkan mereka berfikir secara kritikal, pelajar menyempurnakan aktiviti yang telah ditentukan oleh guru untuk mencapai kejayaan akademik, pelajar bertindak balas kepada jangkaan-jangkaan positif yang ditetapkan oleh guru dalam proses perkembangan berperingkat melalui aktiviti yang telah ditetapkan dan segala hasil kerja pelajar akan dinilai sepenuhnya oleh guru. 

   Dalam pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, guru memainkan peranan yang penting sedangkan pelajar berperanan sebagai penonton sahaja. Komunikasi dan interaksi antara guru dan pelajar adalah sehala. Guru banyak bercakap dan pelajar banyak mendengar. Akibatnya, pelajar-pelajar menjadi kurang kreatif dan berinisiatif. Prinsip-prinsip pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, iaitu guru sebagai penyebar ilmu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pendekatan ini menekankan kepada pencapaian dan penguasaan hasil pembelajaran supaya objektif yang diajar dapat dicapai serta pemikiran pelajar lebih tertumpu pada bahan pengajaran dan pembelajaran. Antara ciri-ciri pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, iaitu pengajaran ditujukan kepada seluruh kelas, buku teks merupakan panduan untuk apa yang diajar di dalam kelas, meja dan kerusi diatur dalam barisan menghadap papan putih, pelajar tidak bebas untuk bergerak dalam bilik darjah, guru berperanan utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan sifat-sifat sosial dalam kalangan pelajar-pelajar kurang dipupuk.

  Antara kelebihan-kelebihan untuk pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, iaitu kawalan kelas mungkin lebih baik bagi sesetengah guru dan pendekatan pembelajaran ini sesuai bagi bilik darjah atau sekolah yang kurang mempunyai kemudahan bagi capaian maklumat seperti di sekolah-sekolah pedalaman. Selain itu, banyak maklumat dapat disampaikan dalam masa yang singkat dan pelajar boleh terus mendapatkan nota. Melalui kaedah ini, saiz kelas tidak terhad pada bilangan pelajar yang mempunyai kuantiti yang sedikit. Hal ini bermaksud saiz kelas adalah mengikut kapasiti sesebuah kelas atau bilik kuliah yang boleh menampung pelajar pada suatu masa. Antara kekurangan-kekurangan untuk pendekatan pembelajaran ini iaitu, sangat bergantung kepada pengetahuan guru mengenai topik yang diajar, tidak menggalakkan pelajar untuk memberikan pendapat mereka sendiri serta tidak dapat mengembangkan potensi murid. Contoh kaedah yang digunakan oleh guru dalam pendekatan pembelajaran berpusatkan guru, iaitu kuliah masteri, demonstrasi, bercerita dan latih tubi. Catatan nota yang diberikan oleh guru serta pelajar mendengar dan menyalin nota tersebut dalam buku. Sumber rujukan yang digunakan, iaitu buku teks. Lokasi pembelajaran terhad di dalam kelas di mana guru memberikan penerangan dengan memberikan dan menyampaikan maklumat dan pelajar membuat latihan.

  Jelaslah bahawa pendekatan pembelajaran berpusatkan guru merupakan satu strategi di mana guru mengawal keadaan dan berperanan sebagai ketua. Fokus pengajaran atau aktiviti dikawal oleh guru. Guru bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan objektif pembelajaran, merangka tugasan pembelajaran dan memilih sumber pembelajaran bagi pelajar-pelajar. Mengikut Brophy (1978), pendekatan ini merupakan suatu pendekatan yang mudah dirancang dan diurus. 

Guru menyampaikan pengajaran dan pelajar-pelajar mendengar pengajaran yang disampaikan oleh guru di dalam bilik darjah. (Sumber: Pemerhatian dijalankan di SMK Tun Perak.)


    Meja dan kerusi disusun dalam barisan menghadap dengan papan putih. (Sumber: Pemerhatian             dijalankan di SMK Tun Perak.)

Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar

Bertepatan dengan revolusi Education 4.0, pembelajaran berpusatkan pelajar merupakan pendekatan pembelajaran yang perlu diberikan tumpuan pada masa kini. Dalam konteks pembelajaran berpusatkan pelajar, selain kaedah pengajaran, sumber pengajaran dan pembelajaran juga merupakan aspek yang penting dalam sesebuah proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Lazimnya sumber pengajaran terdiri daripada tiga kategori, iaitu bahan rujukan seperti sukatan pelajaran, buku panduan mengajar dan buku sumber. Kategori kedua ialah bahan pengajaran seperti alat bantu mengajar yang digunakan oleh guru semasa mengajar. Manakala, kategori yang ketiga ialah bahan pembelajaran seperti buku teks dan alat-alat yang digunakan oleh pelajar untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. 

    Menurut Alizah & Zamri (2019), pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar dapat menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam pembelajaran mereka. Manakala, guru pula berperanan sebagai pemimpin kepada pelajar. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar, guru perlu menggalakkan para pelajar bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri (Dewey, 1993). Istilah berpusatkan pelajar berasal daripada terapi "client-centred" (Rogers 1965; Withall 1991). Dalam hal ini, para pendidik perlu sedar dan mengambil berat akan keperluan efektif dan kognitif pelajar. Pendidik boleh menggunakan pelbagai tingkah laku untuk menguruskan pembelajaran, misalnya menyusun fizikal untuk bersemuka, dialog pada level 'eye-level' yang sama di antara pendidik dan pelajar, dan pelajar dengan pelajar serta mengurangkan jarak sosial  antara pelajar dengan pengajar. (Withall, 1991). Pendekatan ini juga boleh didefinisikan sebagai disiplin yang melibatkan interaksi antara pasukan pelajar yang mengalami pembelajaran kreatif yang akan diaplikasikan dalam situasi sebenar (Thorburg, 1995). Pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar merupakan pendekatan pembelajaran yang meluas termasuk teknik-teknik seperti menukarkan pengalaman belajar secara aktif, menyelesaikan masalah yang memerlukan pemikiran kritis dan kreatif, melibatkan pelajar dalam simulasi dan main peranan, menggunakan teknik kadar kendiri dan pembelajaran koperatif.

   Guru dilihat sebagai penyokong, pemberi kerjasama dan jurulatih di mana pelajar belajar bersama-sama dan menilai sendiri maklumat berkenaan, melatih pelajar membina dan mengeluarkan soalan dan mencari penyelesaian sendiri melalui pelbagai cara dan menggalakkan pelajar menggunakan pengetahuan dan kemahiran sendiri untuk mencapai penyelesaian. Proses pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar juga memberi kebebasan kepada pelajar menentukan pembelajaran mereka sendiri. Di samping itu, pendekatan ini turut memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar. Ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar menurut Mok Soon Sang (2008) ialah pelajar memainkan peranan utama dan guru menjadi pembimbing dalam pengajaran dan pembelajaran, interaksi di dalam kelas merupakan interaksi dua hala, guru bersifat demokratik, pelajar sentiasa digalakkan memberikan pendapat mereka dan kaedah perbincangan sangat digalakkan, penyampaian guru lebih tertumpu kepada pengajaran bermakna, aktiviti kumpulan sangat digalakkan dan pelajar digalakkan untuk menjadi lebih kreatif dan berinisiatif. 

  Contoh kaedah yang boleh digunakan dalam kelas untuk pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar, iaitu sumbang saran, debat, main peranan, kerja lapangan dan kerja projek. Pelbagai sumber rujukan digunakan, iaitu ensiklopedia, internet dan pemerhatian. Antara kepentingan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar, iaitu membantu untuk mencapai matlamat pendidikan negara dengan membantu untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru kerana penerapan sosial boleh disediakan melalui kaedah ini. Pendekatan ini secara umumnya dapat membina individu yang akan memiliki fikiran berdaya tinggi kerana pendekatan ini melatih pelajar tentang kemahiran menyelesaikan masalah, iaitu melibatkan 'reasoning' untuk menyelesaikan masalah yang kompleks, penggunaan teknik-teknik seperti simulasi, inkuiri-penemuan, penyelesaian masalah dan pembelajaran koperatif boleh membina kemahiran berfikir aras tinggi. Kekurangan untuk pendekatan ini, iaitu hilang kawalan kelas, pelajar sukar memahami sekiranya dibiarkan mereka belajar sendiri dan pelajar tidak melibatkan diri dalam perbincangan kumpulan.  

   Banyak penyelidikan lepas yang menyokong pelaksanaan kaedah pembelajaran berpusatkan pelajar. Menurut Maria et al., (2014), pembelajaran berpusatkan pelajar merupakan suatu istilah yang luas digunakan pada masa kini bagi menghuraikan dan memahami proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di dalam dan di luar kelas. Ini kerana strategi pembelajaran berpusatkan pelajar memerlukan penglibatan aktif daripada pelajar untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran (Asmita, 2013; Maria et al., 2014 & Shuell, 1986) dan guru menjadi pemimpin yang membimbing pelajar dan memperuntukkan lebih banyak masa untuk menjalankan aktiviti pembelajaran sama ada secara berkumpulan atau individu (Li, Mai & Tse-Kian, 2014).

  Jelaslah menunjukkan bahawa pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar mengutamakan peranan pelajar berbanding dengan guru. Dalam pendekatan ini, guru menyediakan pelajar peluang belajar secara bebas dan pendekatan ini akan meningkatkan motivasi, pemahaman  dan pelajar akan lebih meminati pelajaran yang diajar. 


     Pelajar-pelajar belajar secara berkumpulan untuk membincangkan tugasan dan berkongsi pendapat        antara satu sama lain berkaitan dengan pengajaran yang telah disampaikan oleh guru. (Sumber:             Pemerhatian dijalankan di SMK Tun Perak.)



Pelajar-pelajar menghasilkan moto untuk ditampalkan pada papan kenyataan di bilik darjah. Mereka mempunyai inisiatif untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang ceria. (Sumber: Pemerhatian dijalankan di SMK Tun Perak.)


Pelajar-pelajar berinteraksi antara satu sama lain untuk memberikan tunjuk ajar atau memberikan pandangan sendiri tentang tugasan yang diberikan. (Sumber: Pemerhatian dijalankan di SMK Tun Perak.)

Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Bahan

Bahan pelajaran memainkan peranan yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan menggunakan strategi ini, guru boleh menyampaikan pelajarannya dengan lebih mudah, menarik serta berkesan manakala pelajar pula boleh memahami pelajaran dengan lebih bermakna serta boleh menjalankan aktiviti pembelajaran dengan secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Bahan pelajaran yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran biasanya boleh dikategorikan kepada dua, iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Pada abad ke-21, sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di sekolah telah mengalami evolusi. Evolusi yang berlaku adalah dari aspek strategi dan pendekatan dalam pengajaran di dalam kelas. Salah satu pembaharuan dalam bidang pendidikan ialah penggunaan bahan dalam kelas. Pengajaran oleh seseorang guru merupakan satu bentuk seni yang menyebarkan pengetahuan dalam pelbagai bentuk. Mengajar memerlukan seseorang itu untuk menguasai sesuatu bidang, bersifat bertanggungjawab terhadap murid-murid atau pelajar, mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan serta berminat dengan teknik pengurusan bilik darjah yang dapat mengubah perspektif pelajar-pelajar terhadap pendidikan.

   Penggunaan bahan atau bahan bantu mengajar (BBM) dalam pengajaran adalah bergantung kepada inovasi yang berupaya untuk menghasilkan sebuah bahan pengajaran yang efektif dan menarik. Dalam menghasilkan sebuah pengajaran yang berkesan, pengajaran tersebut haruslah ada elemen yang mampu menarik minat murid untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan. Contohnya, penggunaan bahan pengajaran yang berwarna-warni yang mampu menarik minat murid terutamanya murid sekolah rendah untuk menggunakan bahan tersebut. Pada peringkat yang lebih tinggi pula penggunaan bantuan video dan audio mampu membuatkan pelajar semakin bersemangat dan merangsang semangat mereka untuk belajar. Kebanyakan sarjana tempatan mengklasifikasikan bahan pengajaran kepada dua, iaitu bahan elektronik dan bahan bukan elektronik. Contohnya, Hanapiah Sudin (1979) dan Khairiah Ahmad (1980) mengelaskannya kepada dua, iaitu "software dan hardware". Penggunaan kedua-dua jenis bahan ini dalam pengajaran dan pembelajaran telah mengubah proses pendidikan menjadi lebih menarik dan efektif. 

  Penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah membantu untuk merangsang pemikiran pelajar untuk belajar. Penggunaan bahan bantu mengajar memberi sumbangan yang amat besar dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru dan pelajar. Bahan bantu mengajar ini juga membantu menyelesaikan pelbagai masalah dalam kaedah pengajaran guru yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah untuk memberi gambaran terhadap sesuatu topik yang akan diajarkan oleh guru. Dalam hal ini, pelajar akan melihat sendiri kaedah penggunaan bahan bantu mengajar oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. 

   Guru-guru yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi akan bijak memilih bahan bantu mengajar yang sesuai, mampu menghasilkan sebuah pengajaran yang berkesan dan tidak membosankan. Walaupun pada masa tertentu pelajar-pelajar memahami pengajaran guru, namun keperluan kepada bahan bantu mengajar adalah penting tidak kiralah bahan yang digunakan merupakan bahan berbentuk elektronik ataupun bukan elektronik. Sabilan (2014) menyatakan bahawa guru yang berusaha untuk memahami gaya pembelajaran lebih awal, boleh menggunakannya untuk membaiki kelemahan pelajar dan menjadikannya sebagai asas untuk membina kekuatan pengajaran. Kadang kala ada kaedah pengajaran yang dirasakan sesuai tetapi masih tidak mampu meningkatkan pencapaian kesemua pelajar. Kepelbagaian tahap penerimaan pelajar terhadap maklumat yang cuba disampaikan akibat daripada gaya pembelajaran yang berbeza-beza. Oleh hal yang demikian, guru perlu bijak merancang dan menggunakan bahan bantu mengajar bagi setiap pelajar untuk memastikan mereka lebih berminat untuk menghadirkan diri dalam pengajaran yang disampaikan oleh guru. 

 Jelaslah bahawa pendekatan pembelajaran berpusatkan bahan merupakan pendekatan yang membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, menarik dan berkesan manakala pelajar boleh menjalankan aktiviti pembelajaran secara sendiri atau secara kumpulan tanpa kehadiran guru. Penggunaan kaedah audio-visual dengan penggunaan projektor, televisyen, komputer dan sebagainya. 

Guru menggunakan Wireless Clip on Headset Microphone Mic System Transmitter untuk meningkatkan suara beliau semasa beliau menyampaikan pengajaran. (Sumber: Pemerhatian dijalankan di SMK Tun Perak.)


Pelajar diberikan latihan bercetak sebagai latihan tambahan untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap topik pengajaran yang telah disampaikan. (Sumber: Pemerhatian dijalankan di SMK Tun Perak.)


Sebagai kesimpulannya, setiap individu belajar dengan cara yang berbeza. Sehubungan itu, dengan mengaplikasikan pelbagai kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap isi pelajaran yang disampaikan. Pelajar juga diandaikan dapat menerima sekurang kurangnya satu daripada kaedah yang dilaksanakan. Hal ini demikian kerana jika pengajar hanya menggunakan satu kaedah pengajaran sahaja, pelajar akan menjadi bosan. 


RUJUKAN

Abdullah Ibrahim. (2004). Pembelajaran berpusatkan pelajar dan kaitannya dengan pembangunan diri dan peluang pekerjaan. Diperoleh daripada http://umpir.ump.edu.my/id/eprint/943.

Alizah Lambri & Zamri Mahamood. (2019). Penggunaan alat bantu mengajar dalam pengajaran bahasa Melayu menggunakan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar. International Journal of Education, Psychology and Counseling, 4(33), 78-94. Diperoleh daripada http://www.myjurnal.my/public/article-view.php?id=143117.

Ishak Baba. (2009). Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dan kaitannya terhadap prestasi akademik pelajar UTHM. Diperoleh daripada http://eprints.uthm.edu.my/5572/.

Muhammad Naim Basir. Keberkesanan strategi pengajaran berpusatkan bahan dalam PDPC Bahasa Melayu. Diperolehi pada 22 Julai 2020 daripada https://www.academia.edu/39831895/KEBERKESANAN_STRATEGI_PENGAJARAN_BERPUSATKAN_BAHAN_DALAM_PDPC_BAHASA_MELAYU.

Syamsulaini Sidek & Mashitoh Hashim. (2016). Pengajaran berasaskan video dalam pembelajaran berpusatkan pelajar: Analisis dan kajian kritikal. Journal of ICT in Education (JICTIE), 3(1), 24-33. Diperoleh daripada www.myjurnal.my/public/article-view.php?id=99499.





Ulasan